23 artis bankrup

Ada antara artis terbabit berstatus bankrap sejak 20 tahun lalu dan diperintah membayar balik hutang secara ansuran, manakala sebahagian lagi bakal menghadapi tindakan tegas apabila hanya membayar RM50 untuk beberapa bulan seperti diarahkan mahkamah sebelum melesapkan diri.

Artis terbabit antara 275 individu daripada sektor hiburan yang diisytiharkan muflis. Kebanyakan mereka dikenal pasti sebagai artis terkenal dan diisytihar bankrap kerana gagal menjelaskan hutang selepas membuat pinjaman untuk perniagaan atau membeli kenderaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata 10 daripada artis terbabit diisytihar bankrap selepas gagal membayar pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan (enam), menjadi penjamin korporat (tiga), kad kredit (dua) dan masing-masing seorang gagal melunaskan hutang pinjaman rumah serta tidak membayar cukai pendapatan.

Beliau berkata, daripada 23 selebriti tersohor itu, 12 memberi kerjasama baik, tujuh lagi ‘tenggelam timbul’ manakala empat langsung tidak nampak batang hidung, menyebabkan tindakan tegas terpaksa diambil sama seperti individu bankrap lain.

Sehubungan itu, katanya, MdI bercadang ‘melawat’ artis terbabit pada bila-bila masa selepas mereka dilihat terlalu culas, malah tidak pernah hadir berbincang dengan jabatan itu untuk merancang pembayaran semula hutang sebelum ini sehingga diisytiharkan bankrap oleh mahkamah.

“Di sektor sukan pula, ada 81 atlit yang kami perlu tadbir manakala sektor hiburan seramai 275 orang diisytiharkan muflis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Abdul Karim berkata, selain sektor hiburan, pihaknya mengenal pasti beberapa golongan yang diisytiharkan bankrap terdiri daripada kakitangan awam, swasta, profesional, bekerja sendiri, perniagaan, pelajar, pesara dan ahli sukan.

“Kami akan kesan untuk ‘bertanya khabar’ jika mereka masih enggan hadir berbincang. Jabatan bukan mahu menganiayai atau menyusahkan orang, sebaliknya ambil pendekatan memudahkan keadaan serta berharap sepenuh kerjasama supaya status bankrap itu boleh ditamatkan.

“Beri kerjasama dan berbincang dengan jabatan, kami akan cuba buat peraturan setakat mana dan selama bila mereka boleh melangsaikan pembayaran. Ini penting sebab kami hendak menjaga kepentingan awam, pihak pemberi hutang, mendidik mengenai kewangan dan moraliti perniagaan, sekali gus membantu kerajaan membangunkan sektor ekonomi,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai peranan MdI, Abdul Karim berkata, jabatan berperanan memberi nasihat dan membantu individu muflis keluar daripada kebankrapan menyebabkan kerjasama mereka amat diperlukan.

“Seseorang hanya akan diisytihar bankrap dengan perintah mahkamah dan selepas itu secara automatik semua harta mereka kecuali perkakasan kerja dan pakaian keluarga yang bernilai tidak lebih RM5,000 diletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvnesi (KPI) untuk dijual dan hasilnya diagih kepada pemiutang kerana diandaikan seseorang itu tidak dapat mengurus kewangan dengan baik.

“KPI berperanan mentadbir dan memantau perilaku si bankrap dan di sini penguatkuasaan dilakukan jika gagal membayar mengikut perjanjian atau melakukan jenayah seperti meminjam lebih RM1,000 tanpa memberitahu status muflis, menyorok atau memindahkan harta dan mempunyai niat tidak mengisytiharkan harta kepada Ketua Pengarah Insolvnesi,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat situasi kelonggaran diberikan seperti individu bankrap hilang upaya, menghidap penyakit kronik dan tidak bekerja kerana KPI ada budi bicara melepaskan mereka daripada kebankrapan, tetapi tertakluk kepada kriteria tertentu.

Abdul Karim berkata, individu yang diisytiharkan bankrap perlu hadir ke Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes kebankrapan mereka kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan undang-undang boleh diambil. Seseorang bankrap atau muflis tertakluk kepada beberapa sekatan, umpamanya tidak boleh membuat pinjaman lebih RM1,000 tanpa memaklumkan kepada pemberi pinjam bahawa dia seorang bankrap, tidak boleh membuka akaun bank kecuali penerimaan gaji, harta termasuk simpanan di bank, simpanan Tabung Haji manakala pelaburan mana-mana skim akan ditahan serta diambil bagi tujuan pembayaran hutang kepada pemiutang serta tidak boleh menjadi presiden apa-apa persatuan.

Selain itu, individu terbabit tidak boleh bekerja dengan syarikat dipunyai sanak-saudara, hanya boleh bekerja dalam bidang tertentu, tidak boleh dilantik menjadi pengarah syarikat kecuali dengan kebenaran KPI dan disekat ke luar negara terutama melancong kecuali dengan kebenaran KPI.

“Kami bagaimanapun memberi kelonggaran untuk menunaikan ibadat haji dan umrah sekali saja sepanjang tempoh kebankrapan. Ramai salah faham mengenai tanggungjawab MdI menyebabkan mereka marah, tetapi kami melindungi mereka daripada diganggu pemiutang berikutan segala pentadbiran harta diambil alih MdI.

“Kami juga melindungi masyarakat daripada individu bankrap yang menipu dan membantu golongan jujur yang mahu melangsai hutang, tetapi tidak mempunyai kemampuan membayar. “Sehubungan itu, saya menasihatkan individu muflis supaya bekerjasama dengan kami menyelesaikan masalah mereka kerana kita bukan mahu menyusahkan, sebaliknya membantu mereka membina hidup baru,” katanya.


Sumber: Metro Online (5/2/2010)



|

Read Users' Comments ( 0 )